• Pihak Bertelagah Syria Setuju Cadangan PBB

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan pihak bertelagah di Syria bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa pakar untuk membincangkan 'isu perlembagaan' minggu ini.

    Orang tengah Pejabat wakil PBB, Staffan de Mistura mengumumkan langkah pertama itu untuk membincangkan isu undang-undang dan perlembagaan yang relevan terhadap rundingan berasingan antara kerajaan Syria dan wakil Majlis Rundingan Tertinggi pembangkang (HNC).

    Pengumuman itu dilihat sebagai cadangan PBB sebelumnya yang diubah suai untuk memudahkan pembentukan perlembagaan baharu.

    Wakil kerajaan Syria dan HNC berada di Switzerland untuk pusingan keenam rundingan damai tajaan PBB, tetapi tiada sebarang kemajuan dicapai. Lewat petang semalam, lapan wakil pemberontak menangguhkan penyertaan mereka sebagai delegasi HNC kerana tidak berpuas hati dengan proses membuat keputusan ketika rundingan itu.

    Kenyataan itu disiarkan kumpulan pemberontak, Faylaq al-Sham, pada malam terakhir perbincangan itu.

    Satu perlembagaan baharu untuk Syria adalah antara empat topik berasingan dalam agenda rundingan, selain pentadbiran, pilihan raya dan memerangi 'keganasan.'

    Ketua wakil kerajaan, Bashar al-Jaafari berkata kumpulannya belum membuat sebarang perbincangan setakat ini. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Pihak Bertelagah Syria Setuju Cadangan PBB "