• ‘Pembersihan’ Dilaksanakan Di Seluruh Agensi

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan tindakan ‘pembersihan’ secara menyeluruh terhadap anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan di bawahnya yang terlibat dengan jenayah.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu akan dilakukan setiap waktu dan tidak bermusim.

    “Kita harus bersiap siaga setiap masa kerana ada dalam kalangan kita yang ada sifat tidak baik hingga ‘merosakkan susu sebelanga’.

    “Dan saya tidak mahu keadaan itu berlaku di mana-mana agensi jabatan penguatkuasaan di bawah KDN dan kementerian lain juga,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah baru-baru ini.

    Ahmad Zahid berkata perkembangan itu turut dipantau oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui maklumat yang diberikan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi lain.

    Timbalan Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa KDN tidak akan melindungi mana-mana anggota atau pegawai dalam agensi penguatkuasaan yang bersekongkol dengan sindiket jenayah.

    “Itu sebabnya saya bersama-sama rakan di KDN berpendirian bahawa kita tidak harus malu jika ada dalam kalangan orang dalaman agensi-agensi penguatkuasaan itu terlibat dan tidak akan ada perlindungan daripada kami. Ini sesuatu yang harus saya pastikan,” katanya.

    Mengulas mengenai pengumuman PDRM pada Isnin lepas bahawa akan berlaku operasi ‘pembersihan’ besar-besaran terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan tangkapan 16 anggota dan pegawai kanan jabatan itu yang dipercayai terlibat melindungi sindiket berkenaan, Ahmad Zahid berkata tindakan itu akan dilaksanakan di seluruh jabatan PDRM.

    Jelasnya, ia berikutan terdapat kes pegawai PDRM dari jabatan lain yang turut ditahan seperti di Melaka apabila enam pegawai polis ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.

    “Kita lakukan operasi pembersihan semua sekali (jabatan) kerana apa yang berlaku di Melaka bukan melibatkan Jabatan Narkotik tetapi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Berat.

    “Saya juga telah berjumpa Ketua Polis Melaka semalam dan saya berikan pengesahan kepada beliau untuk lihat semua yang terlibat. Tidak perlu lindungi walaupun ada dalam kalangan mereka yang kononnya dianiaya, digunakan, kononnya dipaksa… tiada alasan,” kata Ahmad Zahid.

    Kesemua enam pegawai polis itu direman selama enam hari bermula Rabu (17 Mei) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

    Menurut Ahmad Zahid, tindakan seumpama itu telah menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap PDRM tidak berubah walaupun Indeks Kadar Jenayah di negara ini menurun.

    “Usaha-usaha yang dilakukan PDRM untuk menurunkan Indeks Kadar Jenayah adalah yang terbaik tetapi persepsi rakyat tidak berubah disebabkan masalah yang berlaku ini…nila-nila ini yang rosakkan susu sebelanga.

    “Justeru, perkara ini harus dibanteras bagi membetulkan imej PDRM secara keseluruhan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Pembersihan’ Dilaksanakan Di Seluruh Agensi "