• Peluang Perniagaan Dengan China Kini Luas - PM

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    BEIJING: Hubungan baik pemimpin negara dengan kepimpinan tertinggi China telah membuka peluang perniagaan yang sangat luas kepada peniaga dan syarikat Malaysia.

    Datuk Seri Najib Razak berkata, ini dapat disaksikan daripada perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai syarikat Malaysia dan China. 

    Malah, Perdana Menteri menegaskan dalam lawatannya kali ini sahaja, 10 perjanjian dan MoU dimeterai membabitkan pelaburan AS$7.22 bilion (RM31.26 bilion). 

    "Saya yakin pada masa depan akan ada banyak lagi hubungan perniagaan antara syarikat Malaysia dan China. 

    "Malah saya diberitahu ada satu perjanjian besar yang sudah 95 peratus selesai yang mungkin dapat dimeterai dalam tempoh terdekat ini," katanya pada sidang media selepas hari terakhir lawatan kerja beliau ke China bagi menghadiri Belt and Road Forum for International Cooperation (BRF) di sini, hari ini. 

    Perdana Menteri berkata, beliau juga diberitahu banyak peniaga dan syarikat Malaysia mengambil kesempatan daripada kehadiran beliau di sini untuk mengadakan rundingan perniagaan yang sebelum ini sukar dilakukan. 

    "Peniaga dan syarikat kita kini seolah-olah mendapat kunci bagi pintu rundingan yang sebelum ini sukar, susulan hubungan baik kerajaan dan kepimpinan atasan China," katanya sambil menambah, peluang perniagaan lebih besar itu akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan. 

    "Inilah pentingnya hubungan strategik kita dengan negara seperti China. Sekarang adalah masa sangat menarik dan sebab itu ada yang cemburu dan sentiasa mengkritik kerajaan tanpa rasional," katanya. Mengenai BRF, Perdana Menteri berkata, ia mencapai hasil sangat menggalakkan. 

    Beliau menjelaskan, inisiatif One Belt, One Road (OBOR) atau Belt and Road Initiative (BRI) yang dicetuskan Presiden Xi Jinping itu telah diterima pemimpin yang hadir sebagai usaha memodenkan Laluan Sutera lama. 

    "Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu ini, OBOR boleh menjadi rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi. 

    "Dalam jangka panjang, apabila sesebuah kawasan itu dibangunkan dengan prasarana lebih baik, ia akan mencetuskan pembangunan industri, seterusnya peluang kerja," katanya.

    Najib menegaskan, Malaysia adalah negara paling awal meraih manfaat OBOR menerusi projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang mendapat pembiayaan daripada EXIM Bank China. 

    Perdana Menteri berkata, dalam forum dua hari itu, 29 pemimpin yang hadir bersetuju supaya BRF diadakan setiap dua tahun dengan China menawarkan diri untuk sekali lagi menjadi tuan rumah pada 2019. 

    "Saya menganggap OBOR adalah inisiatif yang kena pada masanya. Ia bukan sahaja merapatkan lagi hubungan kita dengan China, malah negara rantau lain yang terlibat," katanya sambil menambah projek dan pembabitan negara BOR akan dipantau Jabatan Perdana Menteri. 

    OBOR bermatlamat menyatukan ekonomi Eropah, Asia dan Afrika menerusi rangkaian prasarana pengangkutan dan komunikasi dengan menghidupkan semula Laluan Sutera. 

    Ia membabitkan jaluran laluan darat merentasi Asia Tengah (Jaluran Ekonomi Laluan Sutera) dan laluan laut merentasi Lautan Hindi (Laluan Sutera Abad ke-21), kedua-duanya sehingga ke Eropah. Setakat ini, inisiatif itu mendapat sokongan lebih 100 negara dan organisasi antarabangsa. 

    Dalam menjayakan inisiatif itu, China menekankan aspek perkongsian kekayaan, penyelesaian menang-menang, menghormati kedaulatan semua negara dan keamanan sejagat. 

    Sementara itu, dalam sesi Mesyuarat Meja Bulat Pemimpin pada forum itu hari ini, Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan ringkas dengan Menteri Kewangan United Kingdom, Philip Hammond serta Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde. 

    Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berlepas pulang ke tanah air pagi ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Peluang Perniagaan Dengan China Kini Luas - PM "