• Mamat Exist Mengaku Bersalah Kes Dadah

    Published: Monday, 15 May 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Bekas vokalis kumpulan Exist didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam badan, enam tahun lalu. 

    Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 39, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Noor Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. 

    Noor Aisyah turut memerintahkan Mamat menjalani pengawasan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan. 

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Mamat didakwa memasukkan dadah berbahaya itu ke dalam badannya di pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, pada kira-kira 3.30 petang, 21 Mac 2011. 

    Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. 

    Terdahulu, peguam Arwa Abdul Rahman yang mewakili Mamat memohon hukuman ringan untuk anak guamnya yang kini bekerja sebagai jurujual jualan langsung kerana pertuduhan yang dihadapkan adalah kes pada 2011. 

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mamat Exist Mengaku Bersalah Kes Dadah "