• Kemasukan Pelaburan Asing RM366 Bilion Bukti Malaysia Bukan Negara Gagal

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kemasukan pelaburan asing bernilai RM366 bilion dalam tempoh tujuh bulan lepas membuktikan tohmahan pembangkang kononnya Malaysia sebuah negara gagal adalah tidak benar, kata anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

    Beliau berkata, kejayaan itu satu indikator cemerlang kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali gus menolak tohmahan pembangkang yang sentiasa bersikap provokatif menagih emosi rakyat dengan tidak bersandarkan kepada fakta.

    "Pelaburan berjumlah RM366 bilion dalam tempoh tujuh bulan lalu menjelaskan kepada rakyat bahawa kesungguhan dan komitmen kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuahkan hasil untuk kepentingan bersama.

    Jumlah RM366 bilion adalah satu angka yang besar, dan ia merupakan jumlah pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia oleh Perdana Menteri sepanjang tempoh tujuh bulan ini, dari November 2016 hingga Mei 2017," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Irmohizam berkata, pembangkang seharusnya mempunyai sikap bertanggungjawab dengan menjaga nama baik negara serta membantu meningkatkan lagi pencapaian ekonomi, bukan dengan menuding jari mencari salah semata-mata.

    Dalam lawatannya ke China selama lima hari baru-baru ini, Najib telah menyaksikan majlis menandatangani sembilan perjanjian persefahaman antara syarikat Malaysia dan rakan niaga dari China yang melibatkan pelaburan dalam bidang infrastruktur bernilai kira-kira RM30 bilion.

    Selain menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Ekonomi pada 14 dan 15 Mei, Najib turut membuat lawatan ringkas ke ibu pejabat Alibaba Group, syarikat e-dagang terbesar China yang diasaskan oleh Jack Ma di Hangzhou, dan mengadakan mesyuarat dua hala secara berasingan dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang di Beijing. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kemasukan Pelaburan Asing RM366 Bilion Bukti Malaysia Bukan Negara Gagal "