• KDN tidak kompromi - Zahid

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan kes 16 anggota termasuk pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terbabit melindungi sindiket pengedaran dadah.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gejala seperti itu akhirnya menyumbang kepada aktiviti pengedaran dadah sehingga merebak ke dalam kawasan sekolah.

    Katanya, semua pihak seharusnya tidak menuding jari mencari salah, sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua, bukan menyalahkan sistem sekolah, pendidikan mahupun PDRM itu sendiri.

    "Adakah sistem sekolah kita salah? Adakah sistem geopolitik kita salah, perlu diperbaiki? Semua pihak harus bertanggungjawab, sekolah tidak patut dipersalahkan, sistem sekolah tidak patut dipersalah, ibu bapa pelajar tidak patut dipersalahkan. Adakah PDRM?

    "Semalam 16 pegawai kanan PDRM sendiri (ditahan terbabit bersekongkol dengan sindiket dadah) saya tidak kompromi. Harapkan pegar, pegar makan padi," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-46 2017 di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    Ahmad Zahid berkata, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah meminta semua sekolah bermula daripada pra sekolah sehingga sekolah menengah supaya menubuhkan Kelab Cegah Jenayah di setiap sekolah.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KDN tidak kompromi - Zahid "