• JSJN Bukit Aman bakal dirombak

    Published: Monday, 15 May 2017
    A- A+
    IPOH 15 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan rombakan terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan tangkapan 16 pegawai kanan dan anggotanya yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tindakan itu merupakan bukti keseriusan pihak polis dalam memastikan tiada dalam kalangan pegawai dan anggota terlibat dan bersekongkol dengan sindiket jenayah.

    “Kebelakangan ini kita dapati ada penglibatan pegawai dan anggota dalam membocorkan maklumat operasi dan sebagainya. Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan.

    “Kita serius, bukan sahaja yang terlibat dengan dadah tetapi juga jenayah lain. Jika didapati ada yang terlibat atau berhubungan rapat dengan jenayah bersindiket, tindakan sama akan diambil,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di Padang Kawad Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan tangkapan terhadap 16 pegawai kanan dan anggota polis menerusi Ops Kabaddi sejak minggu lalu setelah dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah di negara ini. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " JSJN Bukit Aman bakal dirombak "