• Isu Restoran 24 Jam Hangatkan Dialog TN50

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengehadkan restoran yang beroperasi 24 jam antara aspirasi yang menghangatkan suasana pada Program Transformasi Nasional (TN50) Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

    Isu itu pada mulanya dibangkitkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bertanya kepada seorang belia sama ada dia bersetuju jika restoran tidak lagi dibenarkan beroperasi selama 24 jam bagi mengatasi isu kesihatan, khususnya obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Keadaan dewan kemudian gamat seketika dengan suara beberapa pihak yang bersetuju dan yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.

    Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya merancang untuk mengurangkan tempoh waktu operasi bagi restoran di sekitar ibu negara.

    "Kami ada merancang untuk mengehadkan, tempoh operasi restoran, khususnya bagi membolehkan mereka membersihkan kedai masing-masing.

    "Bagaimanapun, ramai masyarakat tidak bersetuju. Jadi kami juga takut nak laksanakan," katanya pada Program TN50 Peringkat Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

    Program itu yang juga sebahagian daripada siri jelajah untuk mendapatkan maklum balas dan aspirasi masyarakat berhubung TN50, dihadiri lebih 800 peserta dalam kalangan belia, ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar universiti.

    Beberapa isu membelenggu warga kota seperti kebersihan, perumahan mampu milik, gelandangan dan lambakan warga asing antara perkara yang dibangkitkan lebih 30 peserta pada program berkenaan.

    Selain itu, aspirasi yang turut disuarakan adalah mengenai pendidikan percuma, teknologi, rekreasi serta pemantapan bahasa jawi menjelang tahun 2050. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Restoran 24 Jam Hangatkan Dialog TN50 "