• Indonesia Jamin Tiada Jerebu Tahun Ini

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Indonesia memberi jaminan tidak akan berlaku jerebu dalam tahun ini meskipun negara serantau berdepan cuaca kering dan panas ketika umat Islam mula berpuasa dan menyambut Aidilfitri, bulan depan. 

    Senario cuaca kering dan panas dijangka berlarutan sehingga Oktober ini dan pada masa sama, berdepan fenomena El Nino (kepanasan melampau). 

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah berkenaan selaras tindakan Jakarta membanteras jerebu rentas sempadan negara jirannya termasuk Malaysia. 

    "Tahun lalu, kita guna diplomasi perbincangan banteras jerebu peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo. 

    "Saya sendiri ke Indonesia berbincang langkah efektif boleh dilaksanakan Jakarta. Akhirnya, kerahan askar dan pegawai tempatan berjaya mengekang jerebu rentas sempadan. 

    "Kesannya sedikit sahaja jerebu dikesan berlaku pada dua atau tiga hari sahaja di negara jiran serumpun," katanya. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Serantau ASEAN Banteras Jerebu, di sini, sebentar tadi. 

    Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Brunei, Datuk Bahrin Abdullah; Menteri Air dan Alam Sekitar Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Penasihat Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Arief Yuwono; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Wijarn Simachaya dan Setiausaha ASEC, Le Luong Minh. 

    Wan Junaidi berkata lima negara ASEAN, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Malaysia sepakat memainkan peranan aktif memantau cuaca di negara masing-masing supaya tidak berlaku jerebu. 

    "Setiap negara akan meningkatkan usaha kurangkan pencemaran udara kesan pembakaran hutan ketika cuaca panas dan kering tahun ini. 

    "Kerjasama kecemasan teknikal seperti bantuan bom air dipersetujui untuk dikerahkan ke negara jiran yang berdepan situasi kritikal," katanya. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Indonesia Jamin Tiada Jerebu Tahun Ini "