• Hanya 200,000 Buat Rayuan BR1M Sejak 3 April

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan yang membuka permohonan rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2017 (BR1M 2017) sejak 3 April lalu telah menerima hampir 200,000 permohonan rayuan.

    Permohonan akan berakhir pada 31 Mei 2017.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, Kementerian Kewangan mendapati jumlah mereka yang menghantar dokumen sokongan ini adalah terlalu rendah.

    “Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk meluluskan pembayaran pertama BR1M 2017 kepada pemohon yang mempunyai pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi tidak mengemukakan dokumen pendapatan yang lengkap seperti penyata pendapatan perniagaan atau penyata bank pemohon walaupun mempunyai pendapatan melalui perniagaan sendiri.

    “Bagaimanapun, mereka masih perlu mengemukakan penyata pendapatan perniagaan atau penyata akaun bank yang berkaitan kepada LHDN semasa tempoh rayuan bagi tujuan semakan sebelum bayaran peringkat seterusnya dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Sehubungan itu, Kementerian Kewangan memohon kepada mereka yang berkaitan untuk menghantar dokumen tersebut bagi memastikan bayaran BR1M 2017 peringkat kedua dan seterusnya tidak terjejas.

    Permohonan rayuan dan penghantaran dokumen sokongan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terdekat.

    Pemohon juga boleh menghantar permohonan secara pos ke Ibu Pejabat LHDN, Cyberjaya bersama dokumen sokongan yang berkaitan seperti penyata gaji dan salinan kad pengenalan pasangan/tanggungan terkini.

    Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Hanya 200,000 Buat Rayuan BR1M Sejak 3 April "