• Hadi Jalani Pembedahan Di IJN

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan injap jantung selama tiga jam, awal pagi tadi.

    IJN dalam kenyataannya berkata, pembedahan dijalankan berikutan Hadi mengalami peningkatan simptom akibat kebocoran injap jantung yang menjejaskan aktiviti harian dan dinasihatkan oleh doktor untuk menjalani pembedahan berkenaan.

    Kenyataan itu menyebut, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kini dirawat di ICU dan keadaannya akan dipantau untuk beberapa hari sebagai rutin yang harus dipatuhi selepas prosedur pembedahan.

    "Tempoh 48 jam akan datang adalah tempoh penting dalam penjagaan selepas pembedahan dan beliau akan berada di bawah pemerhatian ICU oleh sepasukan doktor dan jururawat," menurut kenyataan itu.

    Pembedahan dijalankan sepasukan doktor diketuai Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN, Datuk Seri Mohd Azhari Yakub; Ketua Pembedahan Kardiotorasik, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon dan Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi, Datuk Dr Suhaini Kadiman.

    Menurut kenyataan itu, doktor berpuas hati dengan perkembangan Hadi yang dilaporkan stabil dan dinasihatkan tidak menerima pelawat kecuali ahli keluarga terdekat. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hadi Jalani Pembedahan Di IJN "