• Guru Meninggal Dunia Ketika Sambutan Hari Guru

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+


    PASIR MAS: Seorang guru wanita yang sedang mengadakan persembahan sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1), Tendong, di sini, tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia tengah hari tadi.

    Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, Naizura Mohamed, 42, yang juga guru Bahasa Melayu menyertai persembahan pentas bersama murid sekolah, sebelum dibawa menaiki ambulans ke Klinik Kesihatan Tendong.

    Guru Besar sekolah berkenaan, Zulhadi Mahamad, berkata persembahan pentas yang disertainya adalah persembahan penutup majlis sambutan Hari Guru.

    Katanya, sebelum acara bermula mangsa kelihatan lesu dan rakan guru memberi nasihat kepadanya untuk pulang berehat di rumah.

    "Pagi tadi, muka arwah pucat dan letih ketika berkumpul bersama guru lain di dewan sekolah sebelum acara sambutan bermula.

    "Bimbang dengan keadaan itu, beberapa rakan guru menasihatnya untuk berehat di bilik guru dan dia dibenarkan untuk pulang ke rumah jika keadaannya tidak mengizinkan.

    "Namun sebaik sahaja jamuan tengah hari tadi, beliau meneruskan persembahan penutup bersama murid kelasnya dan tiba-tiba rebah ke lantai," katanya.

    Zulhadi berkata, tindakan pantas guru dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR) gagal menyelamatkannya. "Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (II) untuk dibedah siasat," katanya.

    Difahamkan, ibu kepada empat anak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bechah Durian, Bunut Susu, di sini, pada malam ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Guru Meninggal Dunia Ketika Sambutan Hari Guru "