• Gubal Undang-Undang Wajibkan Guna IBS

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    KOTA KEMUNING: Undang-undang yang mewajibkan industri pembinaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan digubal tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

    Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam tempoh dua minggu mengenai perkara itu.

    Katanya, IBS adalah teknik pembinaan membabitkan komponen dikeluarkan dalam persekitaran terkawal, sama ada di tapak pembinaan atau di luar tapak pembinaan, sebelum ditempatkan dan dikumpulkan menjadi kerja pembinaan.

    "IBS boleh selesaikan banyak masalah bukan setakat masalah bising, pencemaran, lalu lintas di kawasan berhampiran tapak pembinaan, malah lebih penting mengurangkan kemasukan pekerja asing dalam tempoh jangka panjang.

    "Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang kerja kepada masyarakat tempatan, selain mengurangkan aliran keluar mata wang negara, " katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kemahiran Belia Akademi Latihan Terowong (TTA) MMC Gamuda di sini, hari ini.

    Selain itu, katanya, hanya dengan mandatori mengikut undang-undang sahaja akan memastikan penggiat industri pembinaan menggunakan IBS dalam projek pembangunan masing-masing.

    "Saya cadangkan tiga tahun dari sekarang iaitu satu jangka masa sesuai supaya penggiat industri dalam bidang ini benar-benar bersedia dengan IBS, " katanya.

    Katanya, inisiatif Gamuda yang mewujudkan kilang IBS bagi memastikan projek pembinaan lebih teratur, cekap dan berkesan dari segi penggunaan tenaga kerja tempatan perlu dicontohi semua pihak. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Gubal Undang-Undang Wajibkan Guna IBS "