• EU Keluarkan Penerbangan Mozambique Daripada Senarai Hitam

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+


    BRUSSELS -- Penerbangan Mozambique kini dibenarkan terbang di ruang udara Kesatuan Eropah (EU) selepas Suruhanjaya Eropah memutuskan mengeluarkan syarikat penerbangan negara itu daripada senarai hitam.

    Menurut kenyataan suruhanjaya itu di sini pada Khamis, syarikat penerbangan Mozambique dikeluarkan selepas berjaya memperbaiki keadaan berkaitan keselamatan penerbangan.

    Pesuruhjaya pengangkutan EU Violeta Bulc berkata, ia pencapaian membanggakan apabila syarikat penerbangan dari Benin dan Mozambique dikeluarkan daripada senarai dan boleh menjadi perangsang kepada 16 lagi negara yang kekal dalam senarai.

    Suruhanjaya dan Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah bersedia membantu syarikat penerbangan berkenaan dan meningkatkan taraf keselamatan penerbangan di seluruh dunia.

    Berdasarkan senarai terkini 181 syarikat dari 23 negara dilarang memasuki ruang udara negara EU.

    Mozambique mula dimasukkan ke dalam senarai itu pada tahun 2011 kerana Lembaga Penerbangan Awam Mozambique(IACM) dituduh gagal memenuhi piawaian ditetapkan EU dan bukan disebabkan wujudnya masalah keselamatan oleh Mozambique Airlines (LAM) atau syarikat penerbangan udara negara yang lain.

    Pengharaman berkenaan secara praktikalnya itu tidak memberikan kesan kepada LAM kerana ia tidak mempunyai kapasiti untuk mengendalikan sebarang penerbangan antara benua.

    Satu-satunya syarikat penerbangan EU yang menyediakan perkhidmatan ke Maputo ialah syarikat Portugis TAP yang mempunyai kontrak perkongsian kod dengan LAM.

    Sementara itu, syarikat penerbangan lain yang beroperasi menerusi laluan antara benua adalah Qatar Airways dan Turkish Airlines.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " EU Keluarkan Penerbangan Mozambique Daripada Senarai Hitam "