• Enjin bot meletup, APMM selamatkan 6 pemancing

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+


    LABUAN: Enam pemancing yang hanyut akibat enjin bot meletup berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Labuan.

    Pengarah Maritim Daerah Labuan Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata kesemua mangsa ditemukan di kawasan enam batu nautika tenggara perairan Pulau Daat, dekat sini, kira-kira jam 8.50 pagi kelmarin.

    Katanya, APMM menerima laporan kecemasan pada jam 7.20 pagi mengenai sebuah bot yang rosak bersama enam mangsa di kawasan terbabit.

    “Menurut salah seorang mangsa, mereka keluar ke laut untuk memancing sejak petang Sabtu lagi.

    “Ketika memancing, secara tiba-tiba enjin bot meletup sekitar jam 7.15 pagi sebelum kesemua mangsa berjaya diselamatkan.

    “Bot berkenaan ditunda ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

    Menurutnya kesemua mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal Jani, 50, Abd Kadir Kula, 59, Khalid Johari, 52, Haidi Entoh, 43, Talib Arameh, 39, dan Jasni Abai, 49.

    Beliau berkata APMM Daerah Maritim Labuan mengambil berat isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot-bot nelayan.

    Justeru, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada orang ramai supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

    “Komuniti maritim khususnya disarankan agar merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut.

    “Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian kecemasan 24 jam 999 dan Pusat Operasi Maritim Daerah Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.-UtusanBorneoOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Enjin bot meletup, APMM selamatkan 6 pemancing "