• Ekonomi Digital, E-Dagang Berkembang Pesat

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ekonomi digital dan industri e-dagang Malaysia berkembang pesat susulan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mula melaksanakan teknologi digital.

    Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Bhd, Mukhtar Hussain berkata, kejayaan acara jualan dalam talian, #MYCYBERSALE 2016 pada tahun lalu menjadi bukti ramai rakyat Malaysia mengamalkan budaya e-dagang.

    "#MYCYBERSALE 2016 mencapai jumlah dagangan kasar sebanyak RM211 juta, meningkat 79 peratus berbanding tahun sebelumnya, selain menyaksikan penyertaan sebanyak 607 laman web, naik 54 peratus berbanding 2015, " katanya dalam kenyataan hari ini.

    Acara itu adalah inisiatif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk menggalakkan PKS melaksanakan e-dagang dan meningkatkan inovasi dalam kalangan mereka selain merangsang pasaran e-dagang domestik.

    Selain itu, ekonomi digital Malaysia turut menerima rangsangan melalui penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DTFZ) yang membolehkan PKS memanfaatkan pertumbuhan pesat antara ekonomi dan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

    "Malaysia akan memanfaatkan kepakaran Jack Ma, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba, yang juga penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia, dan pada masa sama mempelajari daripada kemajuan teknologi oleh syarikat China seperti Alibaba, Tencent Holdings, Baidu Inc. dan Huawei Technologies," kata Mukhtar.

    Beliau berkata akses Internet yang meningkat dan teknologi digital yang semakin meluas penting untuk meningkatkan produktiviti, inovasi dan taraf hidup meliputi ekonomi yang lebih luas.

    "Malaysia menyedarinya lebih awal dan dalam usaha untuk mewujudkan ekosistem digital yang inovatif dan berdaya maju," katanya. BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ekonomi Digital, E-Dagang Berkembang Pesat "