• e-Wanted Kumpul Senarai Rekod Jenayah Lampau

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Sejajar dengan kemajuan teknologi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menggunakan sistem e-Wanted dalam mengumpulkan senarai mereka yang memiliki rekod jenayah lampau.

    Sistem yang digunakan sejak dua bulan lalu itu dihasilkan oleh Kumpulan Inovasi Kreatif (KIK), memudahkan serta mempercepatkan urusan mengenal pasti individu yang mempunyai rekod lampau seperti jenayah, narkotik, komersial dan trafik dalam sistem PDRM.

    Penyelaras sistem, Deputi Superintendan Mohd Rosli Kadir, berkata sebelum ini mereka menggunakan buku log tapi dengan penggunaan sistem baharu ini, akan mempercepatkan tugasan anggota polis bagi mengumpul maklumat semua suspek.

    "Dalam sistem e-Wanted, senarai mereka yang memiliki rekod lampau dikemas kini dalam komputer dan telefon bimbit yang hanya boleh diakses oleh pegawai dan anggota tertentu.

    "Setakat ini hanya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) saja yang menggunakan sistem ini," katanya ketika ditemui selepas taklimat mengenai sistem itu di IPK, sebentar tadi.

    Mohd Rosli berkata dalam tempoh tiga bulan lagi, sistem itu bakal digunakan di semua IPK dan IPD seluruh negara. "Siri jelajah ke seluruh negara akan dibuat bagi memberi penerangan untuk penggunaan sistem ini.

    "Beberapa penambahbaikan juga akan dilakukan sebelum diguna pakai bersama agensi lain, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Imigresen," katanya. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " e-Wanted Kumpul Senarai Rekod Jenayah Lampau "