• #DUNSarawak: Wujudkan Kembali Pasukan Penyelenggaraan Jalan JKR

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+


    KUCHING: Dennis Ngau (BN-Telang Usan) menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) mewujudkan kembali pasukan penyelenggaran jalan.

    Beliau berkata, ia penting agar pasukan yang dilengkapi peralatan itu dapat bertindak pantas masalah jalan yang dihadapi penduduk luar bandar.

    "Kami di Ulu tidak merasakan kerajaan dapat siap membina jalan simen dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang di-Pertua Negeri.

    Menurutnya, penduduk masih dapat menerima sekiranya jalan batu dibina buat permulaan sebelum jalan lebih baik diwujudkan.

    "Disebabkan banyak batu yang diperlukan untuk menaiktaraf dan membaik pulih jalan luar bandar dengan anggaran 1,000 kilometer, saya mencadangkan kerajaan membina kuari di Baram.

    "Saya rasa ini merupakan langkah terbaik yang kerajaan patut lakukan," ujarnya.

    Dennis berharap permohonan tersebut mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

    "Jika tidak saya mencadangkan ADUN Mulu dan ADUN Marudi menggunakan semua peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018 berjumlah RM15 juta untuk membeli mesin, membayar gaji, mengurus pasukan atau membantu membuka kuari," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Wujudkan Kembali Pasukan Penyelenggaraan Jalan JKR "