• #DUNSarawak: Sekolah Usang, Tiada Elektrik & Air Terawat Tidak Diabai

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Isu membabitkan sekolah usang yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan tanpa air terawat terus mendapat perhatian serius kerajaan.

    Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri baru-baru ini merangka pelan pembangunan untuk menyelesaikan isu terbabit.

    "Namun, kementerian saya akan sekali lagi melihat pelan ini agar pelan komprehensif diperolehi," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

    Mengulas mengenai pembinaan semula bangunan baharu SK St Dunstan Seduku, SK Sembayang, SJK Chung Hua Lingga dan SJK Chung Hua Maludam beliau berkata, belum ada perancangan membina bangunan baharu sekolah terbabit.

    "Bagaimanapun, dana untuk penyelenggaraan sudah diperuntukkan kepada Lembaga Pengurusan Sekolah masing-masing kecuali SK Sembayang," ujarnya.

    Menurutnya lagi, pembinaan bangunan sekolah SK Buda sedang dijalankan dan dijangka siap penghujung Julai tahun ini.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Sekolah Usang, Tiada Elektrik & Air Terawat Tidak Diabai "