• #DUNSarawak: Pantau Operasi Kuari Di DUN Serembu

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Operasi kuari yang dijalankan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu lebih mendatangkan mudarat daripada membawa faedah kepada penduduk setempat.

    Miro Simuh (BN-Serembu) berkata, penduduk kawasan beliau bukan anti pembangunan tetapi setiap pembangunan seharusnya membawa limpahan faedah yang banyak.

    "Operasi (kuari) ini membawa kepada kerosakan jalan raya yang amat teruk, masalah pencemaran debu dan bunyi bising lori yang beroperasi mengaut keuntungan jutaan ringgit tetapi mengenepikan nilai sosial.

    "Saya berharap kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab untuk turun padang meninjau dan memantau operasi syarikat kuari," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang di-Pertua Negeri.

    Dalam perkembangan berkaitan, Miro sekali lagi memohon agar Jalan Bau-Kuching Lama dinaiktaraf daripada satu lorong kepada dua lorong.

    "Jalan ini yang merupakan jalan penghubung semakin sibuk dengan pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakannya.

    "Ini tidak termasuk ratusan dan mungkin ribuan lori membawa muatan batu dari 10 buah kuari yang beroperasi di DUN Serembu," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Pantau Operasi Kuari Di DUN Serembu "