• #DUNSarawak : Masih Banyak Isu Perlu Diselesaikan Di Repok

    Published: Monday, 15 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Dato’ Sri Huang Tiong Sii (BN-Repok) mengemukan tujuh isu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan DUN Ke-18 hari ini.

    Ia melibatkan Hospital Besar Sarikei, pertanian, kolam renang sarikei, banjir kilat, kerosakan pontoon, pembangunan infrastuktur dan projek rumah kos mampu milik.

    Menurut Huang, Hospital Besar Sarikei ketika ini sedang menghadapi masalah kekurangan ambulans dan masalah perkhidmatan haemodialisis.

    “Disebabkan hospital ini mengalami kekurangan ambulans, pihak hospital terpaksa melengahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS).

    “Pesakit haemodialisis pula semakin meningkat saban tahun. Pihak hospital bukan sahaja menghadapi ruang yang sesak, malah juga menggunakan mesin yang lama di mana ia perlu digantikan dengan kadar segera.

    “Oleh yang demikian, saya memohon agar dipertimbangkan permintaan penduduk Sarikei," katanya.

    Berkaitan isu kolam renang pula, Huang berkata, keadaan kolam renang yang tidak kondusif menyebabkan kolam renang Sarikei terpaksa ditutup.

    “Peruntukan semasa hanya mencukupi untuk kerja penyelenggaraan sistem kolam renang, tetapi tidak mencukupi untuk membaikpulih kemudahan lain seperti tandas, bilik menukar pakaian dan sebagainya.

    “Saya memohon pihak kerajaan untuk mempertimbang dan meluluskan peruntukan yang lebih banyak, supaya kerja penyelenggaraan yang lebih menyeluruh dapat dijalankan ke atas Kolam Renang Sarikei," ujarnya.

    Selain itu, tambah Huang lagi, kawasan Repok juga sering mengalami masalah banjir kilat yang membimbangkan penduduk setempat malah mengakibatkan kerosakan harta benda.

    “Saya memohon supaya peruntukan disediakan untuk menyelesaikan masalah pengaliran di kawasan saya,” jelasnya.

    Seterusnya, merujuk kepada permasalah kerosakan Pontoon, Huang berkata, ‘Pontoon Wharf’ di Terminal 1 Sarikei telah pun rosak sejak tahun 2013 dan masih belum dibaikpulih.

    "Pihak JKR Sarikei menganggarkan kos pembaikan bernilai RM785,000, tetapi masih belum menerima kelulusan.

    "Saya merayu supaya perhatian diambil untuk menyelesaikan kesusahan yang dihadapi oleh penumpang, pengusaha bot ekspres dan pengguna pontoon,” tambahnya.

    Mengulas lanjut, Huang menambah, beliau menyeru Kerajaan Negeri menyediakan kediaman lebih selesa, terutama bagi golongan kurang berkemampuan di kawasan luar bandar.

    “Kawasan saya Repok juga tidak terkecuali, untuk memiliki rumah sendiri. Namun, peningkatan taraf kehidupan telah menyebabkan impian mereka sukar dicapai.

    “Salah satu cara untuk membantu mereka ialah melalui projek rumah mampu milik," katanya lagi.

    Sehubungan dengan itu, Huang memohon Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan beliau. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : Masih Banyak Isu Perlu Diselesaikan Di Repok "