• #DUNSarawak: Kebenaran Berkahwin Kepada Pasangan Berusia 18 Tahun Ke Atas

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) mencadangkan agar kerajaan menyemak semula beberapa peruntukan dalam Ordinan Undang-undang Islam Negeri Sarawak 2001.

    Menurutnya, ia selari dengan perubahan dan 'pintu' ke arah manipulasi kanak-kanak dapat dibendung dari awal dari sudut undang-undang dan agama.

    "Saya mencadangkan agar Seksyen 7 dalam Ordinan ini dimansuhkan bagi menghilangkan rasa bersalah hakim syarie yang seolah-olah terpaksa meluluskan permohonan perkahwinan bawah umur 16 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan bawah 18 tahun ke atas bagi kanak-kanak lelaki.

    "Sewajarnya kebenaran berkahwin bagi lelaki dan perempuan hanya dihadkan kepada 18 tahun ke atas sahaja iaitu sekurang-kurangnya setelah melepasi usia majoriti dan usia selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang di-Pertua Negeri.

    Juanda menjelaskan, kebanyakan pasangan berkahwin bawah umur adalah akibat terlanjur dan mereka belum bersedi untuk memikul beban rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian selain bertambah statistik bilangan ibu tunggal yang berusia kanak-kanak.

    "Perubahan kehidupan dan sosial masyarakat telah menyebabkan usia kahwin bawah umur pada zaman sekarang sudah tidak relevan.

    "Saya bukan bercakap soal hukum sah atau tidak tetapi saya bercakap soal obligasi kerajaan untuk menjaga masa depan rakyatnya," ujarnya.

    Juanda berkata, cadangan yang diutarakan beliau adalah untuk pasangan berkahwin di bawah undang-undang Islam dan di bawah undang-undang adat.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Kebenaran Berkahwin Kepada Pasangan Berusia 18 Tahun Ke Atas "