• #DUNSarawak: Isu Sosial Tidak Pernah Diabai

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+



    KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata kementeriannya amat mengambil berat tentang isu-isu sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

    Menurutnya, sembilan isu sosial yang menjadi tumpuan kementeriannya pada masa ini adalah, penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang; kehamilan remaja; penceraian; rogol; penyakit kelamin berjangkit, HIV dan AIDS; keganasan rumah tangga; jenayah jalanan; gelandangan; dan masalah dokumen pengenalan diri.

    "Kementerian menyedari gejala-gejala sosial ini perlu ditangani dengan lebih berkesan kerana rakyat yang bebas daripada masalah sosial adalah penjana pembangunan yang mampan," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Tambahnya lagi, bagi menangani isu-isu sosial tersebut, Kementerian telah dan akan terus merancang dan melaksanakan inisiatif yang merangkumi aktiviti kajian dan penyelidikan; pengurusan pangkalan data; pemantauan tren sosial negeri; penganjuran majlis kesedaran sosial; dan membangunkan program-program intervensi sosial.

    "Untuk membantu Kementerian dalam hal ini, tiga Jawatankuasa Kerja berikut telah ditubuhkan, iaitu Jawatankuasa Kerja Perancangan dan Dasar; Jawatankuasa Kerja Penyelidikan dan Penilaian; dan Jawatankuasa Program.

    "Bagi memantapkan jentera pengurusan isu-isu sosial, Kementerian telah mewujudkan struktur kerajaan yang merangkumi Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Bahagian (JPPSB); Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Negeri Sarawak (JPPSN); dan Jawatankuasa Penyelarasan Penyelesaian Isu-Isu Sosial Negeri (JPPISN)," ujarnya.

    Beliau juga memaklumkan tahun ini, Kementerian telah merancang untuk melaksanakan 31 program intervensi sosial dalam bentuk outreach, perancangan strategik, penyelidikan, dan penilaian.

    Sehingga April 2017, empat (4) sesi dialog telah dilaksanakan di Lawas, Pusa, Serian dan Kuching. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Isu Sosial Tidak Pernah Diabai "