• #DUNSarawak: Ekonomi Sarawak Berkembang Sekitar 4 Peratus

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Ekonomi negeri dijangka berkembang 3.5 peratus hingga 4 peratus dipacu pengembangan perbelanjaan sektor swasta dan eksports.

    Menteri Kewangan II Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi penyumbang utama perkembangan tersebut.

    Menurutnya, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.4 peratus dipacu perkembangan kukuh utiliti, pemborongan dan perdagangan runcit, penginapan serta sektor restoran.

    Sektor pembuatan pula tambahnya berkembang empat peratus didorong permintaan luar untuk sektor berasaskan sumber.

    "Tahun ini, sektor pembinaan dijangka berkembang 12 peratus dengan terus dipacu projek kejuruteraan awam terutama segmen infrastruktur.

    "Sektor pertanian juga diyakini berkembang 1.9 peratus dengan disokong pengeluaran lebih tinggi CPO, penternakan dan perikanan.

    "Perkembangan enam peratus dijangka dicatat sektor perlombongan tahun ini dengan permintaan tinggi gas asli dan peningkatan harga produk," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

    Tahun 2017 juga menurut Wong menyaksikan permintaan swasta dijangka meningkat dan berkembang 6.6 peratus.

    Beliau menjelaskan, pendapatan untuk suku pertama tahun ini bernilai RM1.852 bilion yang mana 35 peratus daripada hasil keseluruhan RM5.320 bilion.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Ekonomi Sarawak Berkembang Sekitar 4 Peratus "