• #DUNSarawak: Beri Air Bersih Kepada Rakyat Terus Jadi Perhatian

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan sedar hakikat sumber air mentah yang mencukupi adalah satu keperluan mutlak dalam usaha untuk memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan air bersih yang berterusan.

    Menteri Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya menghadapi pelbagai cabaran untuk mengatasi dan menaik taraf infrastruktur bekalan air yang sedia ada agar dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.

    “Pada masa ini, perkhidmatan bekalan air di kawasan bandar hampir 100% manakala perkhidmatan bekalan air di kawasan luar bandar hanya 61%.

    “Oleh itu, perkhidmatan akan segera dilaksanakan bagi menampung baki 39% kawasan luar bandar yang belum mendapat bekalan air yang mencukupi,” katanya.

    Rundi berkata, isu-isu masalah bekalan air yang dibawa oleh ADUN pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-18 akan segera diambil tindakan.

    “Projek bekalan air ke rumah panjang Ulu Roban telah dikemukan kepda pihak KKLW untuk pelaksanaan di bawah RMK-11 dengan anggaran kos sebanyak RM3.5 juta.

    “Manakala masalah bekalan air dan tekanan air rendah di Ulu Kabong yang sering berlaku semasa musim perayaan akan bertambah baik setelah siapnya projek-projek untuk menaiktaraf sistem pam, saluran paip sedia ada dan pembinaan tangki simpanan di bawah peruntukkan negeri dan dijadualkan siapa pada tahun 2017-2018,” ujarnya.

    Sementara itu, mengenai masalah bekalan air di DUN Balingian, Rundi berkata, penyelesaian akan segera diambil dan genset telah digunakan untuk mengatasi masalah kabel yang sering terputus untuk bekalan air di Kuala Balingian.

    “Dari Balingian ke Kuala Balingian, sepanjang 17km saluran paip yang telah siap dibina 9 tahun dahulu akan dibaikpulih dan pembekalan air dari Mukah dijangka dapat dinikmati pada awal 2018," jelasnya.

    Selain itu, menjawab pertanyaan Ripin Lamat (BN-Lambir) mengenai projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kawasan Beluru Miri, Rundi berkata, projek tersebut telah diluluskan pada 2 Mei lepas.

    “Anggaran kos untuk projek tersebut ialah RM69 billion dan dijangka siap pada Oktober 2018," tambahnya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Bekalan Air pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-18 hari ini. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Beri Air Bersih Kepada Rakyat Terus Jadi Perhatian "