• #DUNSarawak: 5 Juta Pelancong Ke Sarawak Tahun Ini

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Kementerian Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan mensasarkan kehadiran 5 juta pelancong sepanjang tahun ini dengan nilai RM8.98 bilion.

    Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dari tempoh Januari hingga April, kehadiran pelancong berjumlah 1.67 juta iaitu peningkatan 17.26 peratus berbanding 2016.

    Untuk terus memacu sektor pelancongan Sarawak menurutnya, kerajaan negeri meluluskan pelbagai projek dan program Nilai Keberhasilan Utama (KRA).

    Ia merangkumi jenama Sarawak, menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti pelancongan, pembangunan produk pelancongan baharu, menaiktaraf pusat pelancongan sedia ada, merangka acara ikonik, mewujudkan aplikasi pelancongan Sarawak dan menambah penerbangan terus.

    "Secara keseluruhannya terdapat 13 projek dan program KRA dan peruntukan diluluskan berjumlah RM60 juta.

    "Kementerian saya juga menumpukan kepada bidang pelancongan lain seperti pelancongan perubatan, pelancongan pelayaran, pelancongan pendidikan dan pelancongan sukan," katanya menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

    Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus menumpukan kepada kebudayaan, cabaran dan alam semulajadi (CAN) sebagai produk utama Sarawak.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: 5 Juta Pelancong Ke Sarawak Tahun Ini "