• Doktor Maut Kereta Rempuh Pokok

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    PASIR PUTEH: Seorang doktor maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tok Bok - Alor Hijau, di sini, pagi tadi.

    Mangsa, Dr Mohd Faizal Mohd Rozali, 34, yang memandu kereta jenis Mitsubishi EVO terbabas apabila cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang secara tiba-tiba, dalam kejadian jam 7 pagi tadi.

    Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Elmi Mustofar, berkata mangsa dari rumahnya di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Machang.

    "Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Machang dan ketika kejadian jalan raya agak basah kerana hujan lebat pada malam tadi.

    "Kenderaan dipandu mangsa dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara tiba-tiba dari simpang dan akibatnya kenderaan itu terbabas ke kiri jalan, lalu merempuh pokok pinang dan kekabu," katanya ketika dihubungi, di sini.

    Sebelum itu, katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.12 pagi dan enam anggota yang diketuai Pegawai Bomba Mohamad Deri Wahab bergegas ke tempat kejadian dan tiba di lokasi pada jam 7.29 pagi.

    Katanya, jentera bomba dengan kekuatan enam anggota bertungkus lumus membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

    Katanya, mangsa maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada sebelum dihantar ke Hospital Machang.

    Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Doktor Maut Kereta Rempuh Pokok "