• Cuba Seludup Keluar 23 Tong Gas

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki tempatan kerana dipercayai cuba menyeludup keluar 23 tong gas petroleum cecair (LPG) di perairan Sungai Pukul, Pulau Sebatik di sini, pagi tadi.

    Suspek berusia 24 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota PPM yang menjalankan rondaan menerusi Ops Paradise, kira-kira jam 8.30 pagi.

    Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Norzaid Mohammad Said, berkata pemeriksaan mendapati perahu dinaiki lelaki itu sarat dengan muatan tong gas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

    "Suspek didapati tidak mempunyai permit sah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa keluar barangan kawalan terbabit.

    "Semua barang rampasan termasuk perahu dan enjin sangkut yang bernilai RM14,140 dibawa ke pangkalan PPM Tawau.

    "Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Cuba Seludup Keluar 23 Tong Gas "