• Cub Prix: Akid Sedia Praktikkan Ilmu Rossi

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pengalaman ditimba Md Akid Aziz di Kem Master VR46 milik juara dunia MotoGP sembilan kali, Valentino Rossi di Tavullia minggu lalu, bakal dicurahkannya di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung ini.

    Sepanjang empat hari berada di sana, penunggang PETRONAS Sprinta Yamaha Maju itu menunjukkan peningkatan termasuk memenangi perlumbaan ketika sesi latihan menggunakan jentera miniGP.

    Pelumba 18 tahun itu berharap pengalaman diraihnya di sana dapat mengembangkan lagi kariernya di peringkat lebih tinggi, dengan titik mulanya dalam Cub Prix.

    "Sesi latihan di Itali sudah pun berakhir dan saya gembira dapat menunjukkan perkembangan baik di sana. Saya berterima kasih kepada Yamaha dan VR46 di atas sokongan dan usaha mereka," kata juara CP115 musim 2016 itu.

    "Saya berharap dapat meneruskan latihan seperti ini apabila berada di tempat sendiri. Meskipun terdapat perbezaan, saya akan cuba melakukan sesuatu yang hampir sama untuk membantu perkembangan karier saya," katanya.

    Turut bersama Akid ke Itali ialah pelumba Thailand berusia 18 tahun, Peerapong Boonlert; Anggi Setiawan (18) dari Indonesia; Shota Ite (15), Jepun; Brandon Demmery (19) dari Australia dan Tomas Casas (17) dari Kanada.

    Akid adalah penunggang kedua negara yang terpilih menjalani latihan bersama juara dunia itu selepas juara kebangsaan kelas CP130 2016, Kasma Daniel Kasmayudin.

    Pada aksi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan 20 dan 21 Mei ini, Akid akan turun mempertahankan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan CP115. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Cub Prix: Akid Sedia Praktikkan Ilmu Rossi "