• BN Komited Tunaikan Janji Pilihan Raya

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    KUALA KANGSAR: Kerajaan sentiasa menunaikan janji termasuk ketika pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar tahun lalu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

    "Apa sahaja yang dijanjikan Insya-Allah pasti tertunai, namun bezanya sama ada cepat atau lambat sahaja, " katanya berucap melancarkan Dataran Seri Merchu di sini, hari ini. 

    Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie. Zambry berkata, ada projek atau pembangunan tertentu mungkin terlewat disebabkan timbul masalah tertentu. 

    "Saya beri contoh masalah yang diutarakan oleh Datuk (Mohamad) Kamil mengenai jumlah penerimaan peruntukan bagi membina dewan serba guna di Rancangan Perumahan Awam 4 di sini yang dikatakan kurang iaitu sebanyak RM600,000 berbanding jumlah diminta iaitu RM1 juta. 

    "Perkara sebegini berlaku mungkin disebabkan beberapa hal terpencil seperti proses penilaian semula yang mengakibatkan jumlah peruntukan yang diminta dilihat lebih banyak berbanding jumlah diperlukan hingga mengakibatkan permulaan kerja pembinaan terpaksa dilewatkan bagi mendapat penjelasan secukupnya," katanya. 

    Sementara itu, Mohamad Kamil berkata, pembangunan infrastruktur di daerah Kuala Kangsar, terutama kawasan berhampiran Jalan Sultan Iskandar Shah, adalah janji yang ditepati ketika PRK berkenaan. 

    Beliau berkata, pembinaan Dataran Seri Merchu meliputi mini arena dan pembinaan semula dewan orang ramai di Rancangan Perumahan Awam 1 (RPA1) yang terletak bersebelahan mampu memberi peluang kepada penduduk Melayu, Cina dan India meningkatkan sosio ekonomi. 

    "Sebelum terbinanya mini arena yang juga menempatkan lima kedai ini, keadaan gerai yang dibuka di atas tapak asal begitu uzur. 

    "Begitu juga dewan orang ramai bersebelahan, kita mendapat tender untuk merobohkannya dalam masa beberapa minggu lagi untuk digantikan dengan dewan baharu yang dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " BN Komited Tunaikan Janji Pilihan Raya "