• Bersih semak, jumpa mayat

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+

    MAYAT wanita ditemui dalam keadaan reput di Ladang Kelapa Sawit Simco Seleter, Sungai Toh Pawang, Bedong, Sungai Petani, 11 pagi, hari ini.

    Pekerja ladang, D Krishnan,64, berkata, dia menemui mayat itu di dalam lubang berhampiran pokok kelapa sawit ketika membersihkan semak sekitar kawasan ladang terbabit.

    "Saya bersama pengurus dan penyelia ladang berada di kawasan ini bagi melihat semak di ladang, sebelum terhidu bau busuk.

    "Kami syak ia bangkai haiwan dan cuba mencari, namun gagal sebelum penyelia dan pengurus beredar ke pejabat manakala saya menyambung kerja membersihkan ladang," katanya ditemui di ladang berkenaan, hari ini.

    Krishnan berkata, dia kemudiannya ternampak satu objek kertas di dalam lubang tidak jauh dari tempat dia bekerja dan pergi memeriksanya.

    Katanya, ketika menghampiri kawasan itu bau busuk semakin kuat sebelum dia terpandang wang kertas RM1 di atas sehelai kain.

    "Apabila diamati, saya terkejut melihat kepala manusia dan terus menghubungi penyelia ladang.

    "Pengurus ladang yang datang kemudiannya menghubungi Balai Polis Bedong bagi memaklum perkara itu," katanya.

    Sementara itu, sumber berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemui mayat reput dipercayai seorang wanita.

    Katanya, turut ditemui berhampiran mayat itu sehelai seluar dalam, sapu tangan,sehelai kain batik, wang kertas RM1 dan beg berisi pakaian wanita serta sepasang selipar.

    "Namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian. Mayat reput itu dipercayai mati lebih dari tiga minggu dan dihantar ke Jabatan Forensik,Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat. Setakat kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.-HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bersih semak, jumpa mayat "