• Arab Saudi Larang Umrah Do-It-Yourself

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak melaksanakan ibadah umrah secara persendirian atau ‘Do it Yourself’ (DIY) kerana ia merupakan kesalahan di bawah undang-undang Arab Saudi.

    Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah untuk berdaftar dan diurus oleh syarikat pengendali umrah sah yang dikenali sebagai muassasah.

    “Pelancong yang dikategorikan sebagai Free Independent Traveler (FIT) (pengembara bebas) ini tidak terpakai bagi tujuan umrah.

    “Mereka boleh ditahan pihak berkuasa Arab Saudi kerana umrah DIY adalah salah di sisi undang-undang negara itu,” katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) di sini hari ini.

    Menurutnya pihak kementerian mengakui wujud pihak yang telah berkongsi pengalaman mengenai kejayaan mereka mengerjakan umrah secara DIY melibatkan kos yang rendah tanpa mengambil pakej umrah, melalui media sosial.

    Mas Ermieyati berkata walaupun tidak terdapat warganegara Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung kesalahan itu setakat ini, namun perkara itu boleh memberi masalah kepada kerajaan Malaysia jika perbuatan mereka diketahui pihak berkuasa negara itu.

    Menurutnya jemaah perlu berdaftar dengan muassasah yang berperanan mengurus perjalanan dan menjaga kebajikan mereka sepanjang tempoh umrah dan ziarah, selain menjadi pihak yang boleh dirujuk jika berlaku sebarang masalah.

    “Ini termasuk membantu dalam urusan kecemasan dan insiden luar jangka seperti masalah kesihatan jika perlu dimasukkan ke hospital, kemalangan atau kematian,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya kementerian sedang menyiasat dua buah syarikat berstatus muassasah yang memajakkan lesen mereka kepada pihak ketiga.

    “Syarikat itu memberi kebenaran kepada pihak ketiga untuk menggunakan sistem dia untuk membuat pakej umrah, memproses visa untuk jemaah dan sebagainya tetapi dia sendiri tidak membuat pakej,” katanya.

    Mengulas mengenai kes penipuan pakej umrah, Mas Ermieyati berkata antara tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 250 kes telah disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan kerugian RM10.1 juta.

    Dalam tempoh sama, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pula mencatatkan 3,482 kes tuntutan melibatkan nilai kira-kira RM21.3 juta, katanya.

    Dalam tempoh sama juga sebanyak 79 agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah telah dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM386,000, tambah beliau.

    Sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang, kementerian dan MKSU mengingatkan pengguna agar lebih berwaspada dengan agensi atau orang persendirian yang menjual pakej umrah, katanya.

    “Permintaan tinggi mengerjakan umrah pada bulan mulia itu membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk bergerak aktif menjual pakej umrah palsu atau pakej yang sangat menarik tetapi sukar dipenuhi pada musim puncak umrah,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Arab Saudi Larang Umrah Do-It-Yourself "