• Alonso Gegar Indianapolis Motor Speedway

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    CHICAGO: Fernando Alonso mengetepikan kesukaran beraksi di bawah suhu panas untuk merakam catatan terpantas pendatang baharu pada sesi latihan bebas Indy 500 di Indianapolis Motor Speedway, hari ini.

    Pelumba Sepanyol itu, yang tiba ke Amerika Syarikat kurang 24 jam selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-12 Grand Prix (GP) Sepanyol, melengkapkan 36 pusingan dengan kelajuan purata 356.68 kilometer sejam.

    Bekas juara dunia Formula Satu (F1) itu sebelum ini mengakui dia bimbang bahang panas dan suhu sekitar 32 darjah Celsius mungkin akan menjadi masalah buatnya sebelum memandu jentera McLaren-Honda-Andretti.

    "Saya sedikit risau dengan suhu, kerana ia lebih panas hari ini berbanding ketika ujian yang kami lakukan di sini pada 3 Mei.

    "Bagaimanapun, kereta cukup baik ketika ujian, dan saya rasa mampu melakukan sedikit perubahan dalam penalaan pada tahap keyakinan yang sama pada kereta, " kata Alonso.

    Di bawah peraturan Indy 500, sesi latihan dan kelayakan ditentukan oleh kelajuan purata tertinggi.

    Sesi pembukaan adalah untuk pendatang baharu dan pemandu yang kembali berlumba selepas tidak menyertai perlumbaan untuk tempoh tertentu.

    Kelajuan purata terpantas Alonso mengatasi rakan senegaranya Oriol Servia yang mencatat purata 355.26 km sejam dan Ed Jones pada catatan 338.43 km sejam.

    Bagaimanapun, sesi Alonso dicemari oleh kerosakan penyerap hentak yang menafikan peluang buatnya untuk sesi latihan bersama kereta lain.

    "Semuanya berjalan lancar. Dalam setengah jam terakhir mungkin kami ada masalah dengan penyerap hentak belakang, dan tidak dapat melengkapkan program di mana kami merangka untuk berlatih dalam trafik. Jadi kami terlepas sesi itu.

    "Bagaimanapun, secara keseluruhan ia hari yang menakjubkan. Saya lebih gembira berbanding hari pertama kerana perubahan yang dilakukan pada sebelah pagi membuahkan hasil, " katanya.

    Alonso yang tidak menyertai GP Monaco untuk berlumba dalam Indy 500, dijangka berlatih sepanjang minggu sebelum menyertai pusingan kelayakan di hujung minggu. AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Alonso Gegar Indianapolis Motor Speedway "