• AKSEM Rampas Rokok Tak Sah Hampir RM170,000

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kuala Kedah menahan seorang lelaki dan merampas rokok tidak sah bernilai lebih RM169,000, termasuk cukai di sebuah rumah di Taman Merpati, di sini, petang semalam. 

    Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika sedang memunggah bungkusan plastik mengandungi kotak rokok berkenaan di dalam sebuah bilik di rumah yang disewanya ketika premis itu diserbu sepasukan anggota AKSEM Kuala Kedah, kira-kira jam 3 petang. 

    Timbalan Komander Operasi AKSEM Kedah, Noor Mohamed Shaik Alauddin, berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 1,367 slop mengandungi 273,400 batang rokok pelbagai jenama dalam rumah berkenaan, selain 110 slop dengan 17,200 batang rokok dalam but kereta jenis Kia Spektra miliknya. 

    "Kita percaya suspek memperoleh bekalan rokok itu di kawasan selatan Semenanjung, selain kedai bebas cukai berhampiran di negeri ini tanpa dibayar cukai," katanya ketika sidang media, di sini, malam tadi. 

    Noor Mohamed berkata penjualan rokok tidak sah membabitkan pelbagai jenama itu mendapat sambutan berikutan harganya murah iaitu serendah RM3 sekotak. 

    Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang bagi kesalahan pertama. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " AKSEM Rampas Rokok Tak Sah Hampir RM170,000 "