• 5 Projek Mega Malaysia, Dah Boleh Lawan Jepun!

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+

    SERONOK bila tengok di kaca tv, bagaimana suasana moden di Jepun dengan kemajuan teknologi dan prasarana yang mesra penduduk dan canggih, sangat mengujakan! Malaysia? Jangan terkejut kalau kami katakan bahawa Malaysia bakal menjadi salah sebuah negara yang dapat menandingi kemajuan Jepun tak lama lagi!

    1. Bandar Malaysia

    Bandar Malaysia merupakan sebuah projek yang akan dibangunkan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), yang terletak di Sungai Besi. Ia merangkumi kawasan seluas 197 hektar, di mana ia mengambil tempoh selama 15-25 tahun untuk disiapkan.


    Pada tahun ini, fasa pertama projek akan berjalan dan mengambil tempoh 5-10 tahun. Ia akan merangkumi kawasan seluas 40 hektar, dan akan memuatkan 5000 unit rumah mampu milik termasuklah kemudahan LRT, MRT dan stesen utama sistem kereta api laju Malaysia-Singapura. Setakat ini, ia dilaporkan telah menarik minat sejumlah 12 buah syarikat untuk menjadi pelabur.

    2. Tun Razak Exchange (TRX)

    Tun Razak Exchange adalah sebuah projek bernilai RM40 billion, yang telah dilancarkan pada tahun 2012. Projek ini dibangunkan di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, berkeluasan 70 hektar yang akan menjadi pusat pemacu kewangan dan perniagaan antarabangsa.


    Projek akan meliputi pembangunan yang memusatkan pusat perdagangan dan perniagaan, pusat membeli-belah, penginapan dan kawasan riadah. Turut akan dibangunkan adalah menara utama setinggi 90 tingkat dan stesen MRT yang akan dikenali sebagai MRT TRX.

    3. Industri Hiliran Pengerang

    Pengerang dikatakan berpotensi sebagai hub industri hiliran minyak dan gas terbesar di rantau Asia. Ini kerana pelaburan bernilai berbilion ringgit yang berjaya ditarik oleh Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), di mana antara yang bakal dibangunkan termasuklah Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).


    Dengan keluasan 8093 hektar, ia adalah sebuah hub industri hiliran minyak dan gas bersepadu dengan potensi pelaburan sebanyak USD52 bilion. PIPC akan menempatkan kemudahan penyimpanan dan penapisan minyak, loji petrokimia, loji penggasan semula gas asli cecair (LNG), loji pemecahan nafta, dan juga kompleks sokongan yang lain.

    4. Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL)

    Bermula pada tahun ini, ECRL akan dilaksanakan dengan perbelanjaan RM55 bilion. Projek ini bakal menghubungkan Gombak-Dungun-Tumpat sejauh 600 kilometer. Hasilnya, ia akan merancakkan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur asing, yang mana bakal dilaksanakan melalui dua fasa.


    Fasa pertama melibatkan landasan kereta api yang menghubungkan Gombak-Dungun, di mana ia dijangka akan siap menjelang tahun 2020. Manakala fasa kedua pula akan melibatkan landasan dari Dungun-Tumpat, yang dijangka siap pada tahun 2030.

    5. Lebuhraya Pan Borneo

    Lebuh raya ini telah dibina sepanjang 1236 kilometer secara keseluruhannya, menghubungkan Sarawak-Sabah-Brunei. Fasa pertama projek merangkumi 706 kilometer dengan belanja RM12.85 bilion, dan masih ada fasa dua dan tiga.


    Terbaru, Pada Disember 2016 yang lepas, telah melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Jalan Pintas Lahad Datu. Projek ini melibatkan pembinaan jalan raya baharu empat lorong dua hala, yang memendekkan perjalanan dari Tawau ke Sandakan sebanyak 7 kilometer. Ini akan menjimatkan masa dan kos, seterusnya meningkatkan ekonomi rakyat.

    Dengan adanya projek-projek berskala besar seperti ini, maka adalah tidak mustahil peluang-peluang pekerjaan bakal terbuka luas kepada rakyat Malaysia. Dianggarkan sebanyak 220,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan, hanya dalam projek Bandar Malaysia sahaja! Belum lagi 4 projek yang lain. Jadi, sudah tiada alasan untuk tidak bekerja bukan?

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Projek Mega Malaysia, Dah Boleh Lawan Jepun! "