• 300,000 Kanak-Kanak Dunia Hijrah Bersendirian: UNICEF

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    DAKAR: Pihak berkuasa mendokumenkan lebih 300,000 kanak-kanak berhijrah bersendirian di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun, menjadikan ia peningkatan mendadak yang memaksa ramai pendatang muda menjadi mangsa perhambaan dan pelacuran.

    Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF, berkata 170,000 daripada mereka mendapatkan perlindungan suaka di Eropah pada 2015 hingga 2016, selepas mengharungi perjalanan membahayakan di Laut Mediterranean yang menyaksikan ratusan kanak-kanak dianggarkan mati lemas tahun lalu.

    Menurut laporan hampir 92 peratus budak lelaki dan perempuan yang tiba dengan bot di Itali pada 2016 dan awal 2016 tidak diiringi sesiapa atau dipisahkan daripada anggota keluarga sepanjang perjalanan.

    Mereka, kebanyakannya dari negara Afrika seperti Eritrea, Gambia, Nigeria, Mesir dan Guinea, kata UNICEF.

    "Penyeludup dan pedagang manusia mengeksploitasi kelemahan mereka demi kepentingan diri, membantu kanak-kanak menyeberangi sempadan, kemudian menjual mereka untuk dijadikan hamba dan dipaksa melacur.

    "Malangnya, kita tidak mempertahankan kanak-kanak itu daripada golongan itu secukupnya," kata Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Justin Forsyth.

    Mereka yang selamat menceritakan semula pengalaman ngeri didera sepanjang perjalanan termasuk gadis berusia 17 tahun dari Nigeria yang memberitahu dia dirogol di Libya oleh lelaki yang menjanjikan kemasukannya ke Eropah. AP

    Subjects:

  • No Comment to " 300,000 Kanak-Kanak Dunia Hijrah Bersendirian: UNICEF "