• 3 Ditahan, Dadah RM400,000 Dirampas

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    IPOH: Polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM400,000 dalam dua serbuan di Perak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam serbuan pertama polis menahan lelaki dan wanita masing-masing berusia 45 dan 29 tahun di sebuah pusat hiburan di bandar Seri Manjung di daerah Manjung, jam 2.10 pagi Ahad.

    Katanya, tangkapan selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BJSN) Manjung, menemui 16,000 pil eramin, 2,100 pil ectasy dan 4.46 kilogram (kg) ketamin yang dianggarkan bernilai RM333,594 dalam sebuah bilik di premis berkenaan.

    "Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menjual semua dadah itu kepada pengunjung pusat hiburan berkenaan bagi tujuan berhibur sejak tiga bulan lalu.

    "Kita masih menyiasat sama ada pemilik premis berkenaan terbabit dalam kegiatan itu dan sekiranya dia terbabit premis berkenaan akan disita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

    Hasnan berkata, serbuan kedua pula membabitkan tangkapan lelaki berusia 52 tahun di tepi jalan di Parit Buntar di daerah Kerian dipercayai ketika mahu menjual heroin kepada pelanggan pada jam 4 petang hari sama.

    Beliau berkata, ketika ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dan IPD Kerian, suspek memegang sebuah beg mengandungi tujuh bungkusan heroin seberat 3.21 kg bernilai RM80,275.

    "Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kes dadah.

    "Dalam serbuan itu polis turut merampas motosikal jenis Modenas digunakan suspek dan kita percaya suspek adalah seorang daripada enam ahli sindiket pengedaran dadah yang masih bebas," katanya.

    Hasnan berkata, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Ditahan, Dadah RM400,000 Dirampas "