• 23 geng bogel kena denda

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+
    BENTONG – Seramai 23 peserta lelaki sebuah kem motivasi di Selesa Hill Homes Resort, Bukit Tinggi di sini yang berbogel dalam satu acara permainan Januari lalu didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

    Majistret Khairuddin Anhar Mahmud menjatuhkan hukuman terhadap kesemua mereka berusia 19 hingga 23 tahun yang merupakan pelajar dan bekerja sendiri itu selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan.

    Mengikut pertuduhan kesemuanya didakwa mendatangkan kegusaran kepada Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Selesa Hill Homes Resort, Rozzana Chung Abdullah (gambar kecil) dengan berkelakuan lucah berbogel.

    Kesalahan itu dilakukan mereka di tempat awam padang permainan resort itu pukul 5.30 petang pada 21 Januari lalu.

    Berikutan itu kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, lima lagi peserta turut didenda RM1,500 selepas mengaku salah bersubahat melakukan perbuatan itu di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 294(a) kanun sama yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Namun lima peserta itu tidak berbogel.

    Dalam pada itu, lima lagi individu yang terdiri daripada fasilitator termasuk seorang jurulatih kem berkenaan didenda RM3,000 dan dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan sama.

    Hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu 22 Januari lalu.

    Lima fasilitator dan jurulatih itu ialah Yew Kian Shyong, 45, Cheak Yen Wah, 33, Ng Cheng Leong, 44, Lie Keh Feng, 23, dan Lim Eu Geen, 26.

    Terdahulu kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana masing-masing mempunyai komitmen terhadap kerjaya. - KOSMO

    Subjects:

  • No Comment to " 23 geng bogel kena denda "