• 12K Warga Malaysia ‘Miskin’ 30 Minit Beli Tiket Sheeran

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    SEKIRANYA rajin baca komen netizen propembangkang menerusi media sosial, rakyat Malaysia digambarkan menderita akibat kezaliman kerajaan BN yang kejam menindas mereka selama ini!

    Ramai pekerja kononya hilang pendapatan akibat kilang ditutup ekoran pelabur ‘cabut lari’, pelajar universiti kurus kebuluran apabila pinjaman PTPTN disekat dan lebih teruk, restoran mamak 24 jam lengang tanpa pelanggan pun.

    Pembangkang dengan angkuh dakwa ekonomi Malaysia sudah hancur muflis, rizab Bank Negara Malaysia hampir sifar, kadar mata wang ringgit jatuh sehingga tiada nilai kerana kos sara hidup dan paras inflasi naik mendadak.

    Begitulah hebat tohmahan jahat pihak antikerajaan dalam usaha mengelirukan rakyat dengan persepsi negatif bagi menutup kepincangan Pakatan Harapan yang teruk bergolak dan ada pemimpin mereka dipalit skandal rasuah.

    Ironi, ketika pelabur antarabangsa terus yakin menanam modal dalam pelbagai projek impak tinggi, tanpa disedari artis Barat juga sanggup datang ‘mencari rezeki’ di bumi bertuah ini waima Malaysia bukanlah hebat mana pun!

    Terbaharu, penyanyi muda Britain, Ed Sheeran mencipta sejarah tersendiri apabila 12,000 tiket konsert jelajah dunia beliau di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 14 November depan berjaya habis dijual dalam masa hanya 30 minit.

    Untuk rekod, ini kali kedua Sheeran, 26, atau nama penuhnya Edward Christopher Sheeran datang ke Malaysia selepas 2015, malah ia jauh lebih cepat berbanding jiran kita, Singapura yang cuma habis dalam tempoh 40 minit.

    Berlangsung di Singapore Indoor Stadium di Kallang yang juga boleh memuatkan kapasiti maksimum 12,000 orang, tiket di republik itu dijual pada harga serendah S$108 (RM333) sehingga paling mahal mencecah S$248 (RM767).

    Manakala di Kuala Lumpur pula, tiketnya masing-masing RM198, RM298, RM358 dan RM458. Itupun ada kes apabila dilaporkan pihak tertentu beli dan kemudian jual semula pada harga lebih tinggi kerana permintaan laris.

    Bagi artis baharu, ia pencapaian hebat setanding penyanyi wanita popular, Selena Gomez malah mengatasi legenda, Mariah Carey sendiri apabila pernah ‘malu’ setelah tiket konsert jelajahnya di Singapura pun gagal habis dijual.

    Hakikatnya, artis mat saleh yang datang ‘melalak’ di Malaysia tidak perlu risau dengan sambutan rakyat negara ini yang konon miskin namun sanggup ‘ikat perut’ untuk bersesak menyaksikan penyanyi itu membuat persembahan.

    Bagi rakyat marhaen yang kelaparan, harga tiket penghibur Barat itu sahaja pun (ini belum lagi termasuk caj GST) boleh mengisi perut lebih sebulan lamanya ditambah harga runcit petrol di Malaysia konon paling mahal di dunia!

    Media tempatan melaporkan, tiket Sheeran habis ‘licin’ dibeli majoriti golongan remaja yang sumber pendapatan mereka pun masih belum stabil dan ada lagi ditanggung keluarga termasuk tambah nilai prabayar telefon bimbit.

    Jika ini benar, rakyat Malaysia khasnya peminat tegar artis Barat mungkin boleh berkongsi rahsia kejayaan mereka mampu ‘berhibur’ di sebalik ekonomi negara sedang hancur seperti dakyah pembangkang. – Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " 12K Warga Malaysia ‘Miskin’ 30 Minit Beli Tiket Sheeran "