• TN50: 585,000 Belia Sudah Didekati

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+
    PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mendekati 585,000 belia sepanjang fasa pertama dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50). 

    Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata sepanjang tempoh itu juga, pihaknya mendapat maklum balas menggalakkan dengan 26,000 aspirasi TN50 yang berkualiti tinggi dikumpul menerusi pelbagai saluran, termasuk dialog dan juga secara atas talian. 

    "Bagi fasa pertama ini, lebih 50 peratus belia sudah didekati melalui aktiviti pendampingan secara fizikal dan atas talian. Kita yakin sasaran mendekati 1.5 juta belia dapat dicapai menjelang hujung tahun ini. 

    "KBS juga teruja dengan aspirasi baik yang dinyatakan belia Malaysia. Ia akan disusun mengikut keutamaan dan kategori. 

    "Aspirasi TN50 yang disampaikan mereka kebanyakannya menyentuh hala tuju mengenai ekonomi dan pekerjaan, persekitaran, prasarana, pendidikan, tadbir urus kerajaan selain nilai dan tingkah laku masyarakat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini. 

    Beliau berkata, dialog dan pengumpulan aspirasi TN50 kini memasuki fasa kedua, yang akan diteruskan sehingga akhir tahun ini. 

    "Selepas ini, kita akan memulakan fasa untuk mengupas dan membahas aspirasi belia dengan lebih mendalam bagi menganalisis dan merumus cadangan secara menyeluruh dalam membentuk perancangan dasar TN50 dan Laporan Belia TN50. 

    "Kita juga akan membentuk Kumpulan Masa Depan TN50 dengan setiap kumpulan dianggotai 10 anggota belia dan tiga pakar subjek, yang akan melihat dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai topik utama berkaitan," katanya. 

    Tambah Khairy, bermula hari ini sehingga 12 Mei, pihaknya akan membuka peluang kepada generasi muda yang berminat untuk turut serta atau mencalonkan nama individu yang berkaliber bagi menjadi Ahli Belia Kumpulan Masa Depan TN50. 

    "Kita juga buka permohonan untuk individu berusia lebih 40 tahun yang mahu menjadi Pakar Subjek Kumpulan Masa Depan TN50. 

    Permohonan ini boleh dibuat menerusi www.mytn50.com/circles/registration," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " TN50: 585,000 Belia Sudah Didekati "