• Tayar Celup Ada SIRIM Selamat Diguna

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+
    SEREMBAN: Tayar celup yang mendapat kelulusan piawaian SIRIM, selamat digunakan kerana dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan. 

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron, berkata tayar celup terbabit menjalani pelbagai ujian sebelum menerima sijil pengesahan SIRIM. 

    Katanya, pengguna perlu menggunakan tayar celup yang berkualiti kerana punca utama kemalangan adalah membabitkan tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi. 

    "Apa yang membimbangkan sekarang adalah industri pembuat tayar celup yang tidak berlesen yang menghasilkan tayar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan. 

    "Ini menjadi antara punca kemalangan kerana tayar cepat meletup dan sebatian getah mudah terkeluar," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Selatan di Dewan Perdana KRS, di sini semalam. 

    Beliau membuat penjelasan itu berikutan terdapat kekeliruan di kalangan orang ramai berkenaan penggunaan tayar celup di negara ini. 

    Nadzri berharap, semua agensi termasuk Lembaga Getah Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bekerjasama dalam memastikan pengeluaran tayar celup di negara ini mengikut spesifikasi ditetapkan. 

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji mengenai Sistem Mata Demerit selepas mendapat pelbagai pandangan daripada orang awam mengenai jumlah mata yang ditetapkan sebelum tindakan penggantungan lesen. 

    Katanya, sebelum sistem itu dibuat, orang ramai menganggap JPJ tidak tegas dalam menangani pemandu tidak berhemah dan gemar melakukan kesalahan berulang. 

    "Sistem ini berunsur pendidikan, bukan bertujuan menghukum. Kita akan beri amaran terlebih dahulu, kemudian baru kenakan tindakan gantung lesen. 

    "Bagaimanapun kita akan kaji semula perkara ini lebih lanjut memandangkan pelaksanaan masih baru," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Tayar Celup Ada SIRIM Selamat Diguna "