• Surat palsu PM: Pemuda UMNO buat laporan polis

    Published: Monday, 17 April 2017
    A- A+
    Pemuda UMNO menggesa polis menyiasat dalang penyebaran surat palsu menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya bagi meraih sokongan dalam PRU14.

    Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, surat itu turut menggunakan kepala surat Pejabat Perdana Menteri serta ditandatangani Najib.

    “Saya menerima surat ini Jumaat lalu selepas diserahkan oleh seseorang. Kandungan surat itu kononnya ditulis secara peribadi oleh Perdana Menteri kepada individu dan syarikat korporat tertentu disyaki untuk meraih sokongan dalam PRU14.

    “Bagaimanapun, saya telah menyemak dengan Pejabat Perdana Menteri tentang kesahihannya dan mereka kata tidak keluarkan surat sedemikian.

    “Jadi kita harap polis dapat jalankan siasatan kerana kita yakin surat ini telah disebarkan dengan meluas,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

    Menurut beliau, menggunakan nama Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri untuk tujuan yang tidak betul adalah satu perbuatan serius.

    “Kita lihat perkara ini dilakukan secara terancang. Ini kerana surat itu turut mengarahkan penerima surat agar membalasnya segera kepada alamat e-mel palsu Najib.

    “Oleh itu, saya seru kepada individu dan syarikat-syarikat korporat yang terima surat sebegini untuk turut buat laporan polis atau berhubung dengan pejabat Perdana Menteri untuk dapat pengesahan,” katanya.

    Dalam pada itu, Nazir Hussin mendakwa, penyebaran surat tersebut adalah satu perbuatan jelas untuk menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri.

    “Kami menganggap surat ini sebagai satu serangan kepada Perdana Menteri menjelang PRU14,” katanya.- BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Surat palsu PM: Pemuda UMNO buat laporan polis "