• Sistem Demerit Tak Sebabkan Hukuman Berganda - JPJ

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+
    Image result for JPJ
    PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menjelaskan bahawa pelaksanaan mata demerit tidak ada kaitan dengan kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). 

    Sehubungan itu, JPJ, dalam satu kenyataan hari ini, menafikan dakwaan segelintir masyarakat bahawa wujud isu 'double jeopardy' atau 'hukuman dua kali' berikutan pelaksanaan sistem mata demerit.

    "Ketua Pengarah JPJ (Datuk Nadzri Siron) mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan, dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu. 

    "Di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta 333 ini juga ditetapkan cara untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit.

     Justeru, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (kompaun atau sabitan oleh mahkamah). 

    "Ini kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya diguna berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan sesuatu kesalahan yang dilakukan," katanya. 

    Sehubungan itu, JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem mata demerit, isu 'double jeorpardy' tidak berbangkit sama sekali dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen di bawah seksyen 35 dan 35A Akta 333. 

    JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Sistem Demerit Tak Sebabkan Hukuman Berganda - JPJ "