• Setiausaha Penaja PPBM Umum Letak Jawatan, Keluar Parti

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini dilihat semakin meruncing.

    Terbaru, Setiausaha Penaja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman hari ini mengumumkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dan juga keahlian dalam parti itu.

    Menurut beliau, tindakan tersebut diambil berikutan kekecewaannya terhadap pimpinan tertinggi PPBM terutamanya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang bersikap ‘pilih kasih’ selain meminggirkan penggerak awal parti itu.

    “Ramai di kalangan ahli yang mempersoalkan tentang ramainya yang membuat onar dalam UMNO yang melompat masuk dalam PPBM.

    “Saya pernah nyatakan kebimbangan tentang kurangnya kualiti dalam PPBM kerana ramai yang kejar jawatan. PPBM telah mempergunakan penggerak awal dalam mendapatkan sokongan dalam parti. Mereka ini habiskan wang ringgit sendiri untuk gerakkan parti

    “Tapi bila tiba masa ketua bahagian hendak dipilih, mereka ini telah diketepikan,” katanya.

    Jelasnya lagi, beliau sangat kecewa apabila golongan yang benar-benar bekerja demi parti dilayan sebagai ahli ‘kelas kedua’ sedangkan mereka yang rapat dengan pimpinan tertinggi parti diberikan keistimewaan.

    “Seorang itu akan lebih tinggi darjatnya jika mereka adalah kenalan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

    “Saya sangat kecewa kerana golongan yang benar-benar bekerja dilayan sebagai ahli kelas kedua. (PPBM) Belum bergerak jauh sudah amalkan sifat pilih kasih dan kronisme yang mendalam,” katanya.

    Susulan itu, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Kemang, penolakan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Negeri Sembilan, peletakan jawatan sebagai setiausaha kerja PPBM pusat, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan pengunduran diri daripada menjadi ahli PPBM.

    Selain itu Kamarul Azman turut mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 821 ahli parti itu sudah menyatakan keinginan untuk meninggalkan parti itu.

    Sebelum ini seramai 60 orang ahli PPBM Baling mengisytiharkan keluar daripada parti yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad itu diikuti dengan 500 lagi orang ahli PPBM Rembau yang mengambil tindakan sama. - klxpress

    Subjects:

  • No Comment to " Setiausaha Penaja PPBM Umum Letak Jawatan, Keluar Parti "