• Setem Khas Sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan setem peringatan bagi memperingati pertabalan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 24 April ini. 

    Siri berkenaan turut menampilkan lembaran mini (MS) sampul surat hari pertama (FDC) bersama brosur percuma dan folder yang memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong. 

    Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah, berkata ia sebagai tanda penghormatan dan kenangan kepada Baginda yang bakal menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 selepas mengangkat sumpah pada 13 Disember 2016. 

    Katanya, keluaran setem 'Raja Sebagai Pemerintah Negara' akan dicetak sebanyak 200,000 keping dan dijual pada harga 60 sen. 

    "Ciri istimewa setem peringatan pertabalan Baginda ini kelihatan lebih menonjol dengan cetakan emas pada setem berkenaan. 

    "Selain itu, turut dikeluarkan lembaran mini (MS) yang mempunyai ciri cetakan emas yang memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong dalam upacara melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara," katanya ketika majlis pelancaran setem peringatan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di sini, hari ini. 

    Diyana berkata, siri set lengkap folder yang mengandungi setem dan produk filateli lain dijual pada harga RM44.10 setiap satu. 

    "Set berkenaan mengandungi setem berlubang dan tidak berlubang, sampul surat hari pertama (FDC) bersama brosur dan lembaran mini (MS). 

    "Pada FDC turut terdapat tanda pembatalan yang menampilkan tulisan Dirgahayu Tuanku yang hanya boleh didapati pada tarikh 24 April sahaja," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Setem Khas Sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong "