• Senjata Nuklear Yang Kami Miliki Bukan Ilusi - Korea Utara

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+


    PYONGYANG: Korea Utara memberi amaran bahawa tenteranya kini berada dalam keadaan bersedia pada tahap maksimum selepas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence melawat kedudukan tentera di sempadan Korea Utara-Korea Selatan.

    Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Sim Hong-chol pada Isnin berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump perlu memandang dunia dengan pandangan yang lebih luas.

    “Era AS mengawal kuasa (dunia) menggunakan kekuatan tentera akan berakhir.

    “Jika ahli perniagaan ini (Trump) merasakan dapat mengugut kami dengan kuasa tentera atau sekatan, seperti yang dilakukan (Barack) Obama dan gagal, mereka akan menyedari ancaman itu adalah tidak berguna.

    “Jika kedaulatan negara diceroboh, tentera kami akan melancarkan serangan tanpa henti ke atas tentera AS, tidak kira di mana mereka berada sama ada di kawasan terpencil hingga pangkalan tentera di Semenanjung Korea atau Di Jepun,” katanya menurut portal Al Jazeera.

    Selain itu, Hong-chol berkata, usaha enam negara mengadakan perbincangan untuk menjadikan Semenanjung Korea sebagai kawasan bebas senjata nuklear telah musnah sejak ia mula dibangkitkan.

    “Senjata nuklear yang kami miliki bukan illusi. Ia juga bukan barang dagangan yang boleh dibeli dengan mata wang dolar AS dan ia bukan untuk dijual.

    “Jadi isu ini (senjata nuklear) tidak boleh dibawa ke meja rundingan dengan tujuan menghapuskannya,” kata beliau.

    Ketegangan antara Pyongyang dan Washington semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu susulan beberapa siri ujian peluru berpandu oleh Korea Utara yang menggusarkan pentadbiran Trump.

    Pada Isnin, Pence melawan kawasan sempadan paling ketat dikawal oleh tentera di kampung Panmunjom yang memisahkan dua negara Korea, sekali gus memberi bayangan bahawa AS tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan tindakan ketenteraan ke atas Pyongyang.

    “Rakyat dan tentera Korea Utara tidak boleh tersalah anggap pendirian AS bersama sekutu kami.

    “Era penyelesaian strategik sudah berakhir. Semua pilihan telah dibentangkan ketika AS terus menyokong rakyat Korea Selatan,” kata beliau. - TV14

    Subjects:

  • No Comment to " Senjata Nuklear Yang Kami Miliki Bukan Ilusi - Korea Utara "