• Sarawak Jamin Bantu Pembangunan Sekolah Menengah Persendirian Cina

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+

    MIRI:  Sarawak akan tetap meneruskan komitmen membantu pembangunan sekolah-sekolah menengah Cina persendirian di negeri ini selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan.

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan dengan komitmen tersebut kerajaan negeri bersedia merangka strategi yang boleh membantu sekolah-sekolah terbabit menjana pendapatan bagi mengurangkan beban kewangan ditanggung.

    "Ini mengelakkan sekolah-sekolah tersebut terlalu bergantung kepada geran kerajaan,"katanya semasa menyerahkan geran pendidikan RM6 juta kepada 14 buah sekolah menengah persendirian Cina di sini hari ini.

    Abang Johari bagaimanapun enggan menyatakan secara terperinci strategi tersebut namun memberi jaminan akan membuat pengumuman setelah semua perkara diperhalusi serta dipersetujui semua pihak.

    Beliau berkata, kerajaan negeri amat memahami cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah menengah persendirian Cina terutama sekali dalam aspek operasi harian.

    Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia menaikkan jumlah peruntukkan geran pendidikan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina memandangkan ia bukan khusus untuk satu kaum sahaja.

    Beliau berkata, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, yang diwakilinya sendiri, terdapat dua buah sekolah Cina yang pelajarnya terdiri daripada pelbagai kaum.

    Beliau mahu masyarakat Cina di Sarawak bersatu dalam politik supaya isu-isu membabitkan komuniti tersebut termasuk isu pendidikan mendapat perhatian yang serius kerajaan negeri.

    Beliau juga meminta rakyat tempatan untuk menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Mandarin untuk meningkatkan daya saing dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Sarawak Jamin Bantu Pembangunan Sekolah Menengah Persendirian Cina "