• SAPEC Lonjak Eksport Produk Pertanian Sarawak

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    KUCHING: Perbadanan Eksport Produk-Produk Pertanian Sarawak (SAPEC) akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan dana awal berjumlah RM100 juta.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, SAPEC bertanggungjawab membangun dan mengurus eksport produk pertanian Sarawak dalam pasaran luar negara dan memastikan pesanan eksport yang mencukup secara berterusan.

    "Saya dengan gembira mengumumkan Perbadanan Eksport Produk-Produk Pertanian Sarawak dan akan menyuntik modal untuk teknologi ke dalam sektor pertanian bagi tujuan memodenkan sektor ini," kataya

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengeluaran Pertanian Yang Lestari dan Selamat 2017 semalam, lapor Utusan Borneo.

    Menurutnya, adalah penting untuk Sarawak mempunyai agensi yang mengawal selia dan mengurus pengeksportan produk-produk pertanian kerana setiap negara mempunyak peraturan makanan yang tersendiri bagi mengawal selia jenis-jenis kualiti yang diinginkan.

    "Sarawak perlu mengambil pendekatan baharu dalam membangunkan sektor pertanian seiring dengan pembangunan ekonomi digital yang telah dirancang oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg," jelas beliau.

    Beliau berkata SAPEC akan turut bertanggungjawab memastikan bekalan mencukupi bagi produk-produk pertanian yang dipromosikan melalui kerjasama erat dengan pekebun kecil dan pemilik ladang tempatan dalam pengeluaran produk pertanian dengan harga minimum produk pertanian untuk pekebun.

    SAPEC turut memastikan daya saing eksport dengan mempromosikan penggunaan teknologi moden dalam pertanian seterusnya menggalakkan penggunaan teknologi menerusi penglibatan modal.

    "Pendekatan SAPEC berbeza dengan SALCRA, FELCRA dan RISDA,"ujarnya.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Pedalaman) dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Persisir) dan Perikanan Datuk Julaihi Narawi serta Menteri Muda Pertanian Malcolm Mussen Lamoh. - Sarawakiana
  • No Comment to " SAPEC Lonjak Eksport Produk Pertanian Sarawak "