• Republikan Bimbang Trump Kerap Ke Florida

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+
    Image result for Trump
    WASHINGTON: Sebelum ini, Demokrat menuntut Presiden Donald Trump mengurangkan kunjungan hujung minggunya ke Florida, namun semalam pembuat dasar Republikan senada dengan pembangkang Amerika Syarikat (AS) itu. 

    Mereka sepakat menggesa Presiden AS itu menghabiskan lebih banyak masa bekerja di bandar ini. 

    "Saya mempunyai kebimbangan sama. Saya berharap beliau menghabiskan lebih banyak masa di Washington DC. Sebab itulah mengapa kita memiliki Rumah Putih. 

    "Ia bukan hanya mengganggu saya, namun sesetengah anggota kaukus kami. Ia akan menjadi topik perbincangan apabila kami kembali ke Washington," kata Senator Joni Ernst kepada satu mesyuarat perbandaran di Iowa apabila kalangan pengundi bertanyakan mengenai lawatan dibiayai pembayar cukai ke Mar-a-Lago, pusat percutian di Palm Beach. 

    Pembuat dasar AS kini berehat selama dua minggu. Khamis lalu Trump terbang ke Palm Beach apabila beliau menghabiskan tiga malam di Mar-a-Lago, jauh daripada wartawan di tengah ketegangan dengan Korea Utara. 

    Beliau menghadiri upacara Hari Easter di gereja tempatan dan kemudian ke Washington semula, namun sempat menghabiskan beberapa jam pada Jumaat dan Sabtu di padang golf berhampiran. 

    Rumah Putih enggan mengatakan jika Presiden AS itu bermain golf. Trump sebelum ini berulang kali menyerang bekas Presiden Barack Obama kerana bermain golf dan pada 2011 menyelarnya sebagai 'seseorang yang gemar bercuti.' 

    Percutian terbaru Trump adalah kunjungan ke-17 dan ke-18 ke padang golf sejak pengisytiharannya 20 Januari lalu, menurut kiraan NBC News. Beliau menghabiskan tujuh kali hujung minggu di Mar-a-Lago dalam tempoh itu. AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Republikan Bimbang Trump Kerap Ke Florida "