• Proses Rundingan Dengan Petronas Bukan Sesuatu Yang Mudah

    Published: Thursday, 20 April 2017
    A- A+



    KUCHING: Proses rundingan dengan Petronas bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan perbincangan kata Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya Petronas memberi maklum balas yang baik terhadap permintaan negeri ini, namun prosesnya memerlukan banyak penyelarasan antara kerajaan negeri dan organisasi minyak negara.

    “Mereka (Petronas) bertindak balas dengan baik berhubung permintaan Sarawak tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebelum ini, proses ini bukan sesuatu yang mudah, kerana memerlukan banyak perbincangan dan rundingan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

    Morshidi yang juga salah seorang ahli Lembaga Pengarah Petronas berkata, kerajaan negeri telah memberikan sepenuh komitmen dan membuat susulan mengenai isu ini.

    “Saya percaya bahawa Petronas serius dalam mengendalikan isu permintaan Sarawak,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin Sarawak terhadap Petronas sebelum ini.- Sarawakiana
  • No Comment to " Proses Rundingan Dengan Petronas Bukan Sesuatu Yang Mudah "